Ergonomik dan Keselamatan Ketika Majlis Korban

Share This Post

Penulis:

Fakulti Sains Kesihatan mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidiladha 1442H kepada semua warga kampus Universiti Selangor dan masyarakat umum. Semoga ibadah korban kita kali ini dapat dilakukan dengan sempurna dan diberkati. Patuh SOP dalam amalan norma baharu demi kesejahteraan kita bersama. Kita jaga kita.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) menetapkan solat sunat Aidiladha dan ibadah korban adalah dibenarkan sempena Hari Raya Aidiladha kali ini bagi negeri-negeri di Fasa 1 dan Fasa 2. Ia tertakluk kepada SOP tertentu mengikut ketetapan pihak berkuasa agama negeri dan pihak-pihak berkaitan dengan penjarakan fizikal dan pematuhan.

Selain pematuhan SOP dan ketetapan pihak berkuasa, aspek keselamatan dan kesihatan diri yang lain juga perlu diberi perhatian. Ibadah korban dikenali sebagai aktiviti yang mempunyai potensi bahaya tersendiri.

Pengendalian peralatan tajam dan aktiviti kerahan tenaga tinggi semasa proses melapah, memotong dan mengurus daging korban adalah bahaya utama dikenalpasti. Di sini dikongsikan panduan keselamatan dan kesihatan ketika majlis korban.

Kerja-kerja korban seperti melapah daging merupakan kegiatan yang sangat memberi kesan kepada rangka-otot. Dalam perbincangan kali ini kita memberi tumpuan terhadap risiko rangka-otot dan aspek keselamatan yang perlu dititikberatkan ketika melakukan aktiviti korban.

Postur Janggal

Postur janggal (𝑎𝑤𝑘𝑤𝑎𝑟𝑑 𝑝𝑜𝑠𝑡𝑢𝑟𝑒𝑠) belakang, tengkuk, kaki, tangan sering berlaku dalam kerja-kerja korban. Membongkok ketika melapah, mengangkat peha lembu yang begitu berat dll. bakal mendatangkan risiko kepada tubuh badan.

Dalam keghairahan melapah, posisi jari menggentas (𝑝𝑖𝑛𝑐ℎ) kulit dan daging dengan kuat dalam masa yang lama lama berupaya menyebabkan tekanan pada pangkal ibu jari dan pergelangan tangan.

Pengendalian Alat Tajam

Mengendali peralatan tajam berupaya mendatangkan kejadian terhiris jari dan tangan. Pisau, parang, golok dan kapak dibiarkan tidak bersarung serta diletak merata-rata menghadirkan risiko orang tersepak atau terpijak.

Cadangan

Oleh itu dicadangkan tindakan yang boleh meningkatkan tahap keselamatan diri dan orang lain ketika sedang beraktiviti :

  • Rancang kegiatan sebaiknya ketika bermula, sedang dan akhir aktiviti ;
  • Peralatan memotong bersesuaian dengan kerja melapah saja digunakan ;
  • Peralatan memotong serta melapah sesuai dan selesa dengan diri ;
  • Komunikasi antara pelapah perlu supaya kemalangan tidak diingini boleh dielak ;
  • Peralatan memotong diasah tajam supaya kerja melapah menjadi mudah ;
  • Jika boleh, gunakan sarung tangan pelindung khas untuk mengelak kecederaan jika terpotong anggota badan sendiri atau kawan. Sarung tangan ini dilapisi dawai amat sesuai untuk kerja tersebut ;
  • Untuk aktiviti menyiat kulit, pisau bermata runcing disyorkan. Jangan gunakan pisau mata besar untuk menyiat ;
  • Minta bantuan rakan untuk mengangkat beban daging yang berat. Kerja berdua lebih baik daripada kerja berseorangan ;
  • Disyorkan menggunapakai alat bantu ketika memotong tulang seperti gergaji elektrik bagi menggantikan kapak yang memerlukan tenaga yang tinggi ;
  • Jika menggunakan kapak, pastikan kepala kapak itu diikat kukuh pada hulunya. Jika kepala kapak longgar, ia boleh menggundang risiko tercabut dan terpelanting ;
  • Peralatan tajam mempunyai sarungnya. Jika peralatan tersebut tidak digunakan, sila sarung ;
  • Jangan meletak peralatan tajam sewenang-wenangnya yang mendatangkan risiko terpijak, tersepak, tersusuk dan sebagainya.

Demikian serba sedikit panduan ketika majlis korban nanti. Moga amalan korban yang kita laksanakan kelak dinilai tinggi oleh Allah SWT. Islam menganjurkan umatnya menjaga keselamatan diri dan orang lain setiap masa. Patuhi SOP, jaga keselamatan dan kesihatan semua.


“Selamat menyambut hari raya korban”

FSK Unisel

Oleh: Mohd Zubairy Shamsudin, PhD
Fakulti Sains Kesihatan
Universiti Selangor

More Articles