Setiap tahun, bulan-bulan terakhir sentiasa dinanti kerana inilah musim istiadat konvokesyen Universiti. Pesta Konvokembali menghidupkan kampus dengan warna-warni jubah, senyuman bangga dan detik emosional yang terpahat dalam ingatan sepanjang hayat. Namun, sebaik sahaja graduan melangkah turun dari pentas penerimaan ijazah, lembaran baharu kehidupan pun terbuka dan di situlah bermulanya cabaran sebenar dunia kerjaya. Pada masa kini, graduan baharu berdepan pelbagai cabaran besar untuk menempatkan diri dalam alam pekerjaan, bukan sahaja kerana persaingan yang semakin sengit tetapi juga akibat perubahan pesat dalam teknologi, gaya hidup dan norma masyarakat. Graduan perlu bersedia untuk menghadapi situasi sukar dengan ketabahan dan strategi yang berkesan. Selepas pandemik Covid-19, lanskap masyarakat, termasuk di Malaysia, telah berubah secara drastik, mempengaruhi cara bekerja, termasuk pelaksanaan pekerjaan jarak jauh dan penggunaan teknologi digital. Perubahan ini mengakibatkan peralihan dari model tradisional kepada model yang lebih berasaskan digitalisasi dan automasi.
Perubahan Global dan Keperluan Kemahiran Baharu
Perubahan global juga telah memacu perindustrian ke arah perspektif baharu, dengan tumpuan yang semakin meningkat terhadap industri teknologi, inovasi hijau, dan kelestarian. Graduan yang berjaya adalah mereka yang mampu memahami arah tuju industri dan memperlengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang relevan, seperti analisis data, kecerdasan buatan, dan pengurusan lestari. Keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan ini akan menjadi penentu kejayaan mereka dalam dunia pekerjaan yang semakin kompleks dan dinamik.

Perkembangan mutakhir ini, Malaysia perlu melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran tinggi bagi menyokong gelombang teknologi terkini dan menghadapi cabaran Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0). Era IR 4.0 dan kemajuan AI membawa dimensi baru dalam dunia pekerjaan yang perlu ditangani. Dalam era IR 4.0, kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), Internet of Things (IoT), dan automasi industri bukan sahaja mengubah cara kerja, tetapi juga mencipta permintaan baru untuk kemahiran yang spesifik.
Isu Etika dan Keselamatan Dalam Transformasi Digital
Graduan berhadapan dengan revolusi industri seperti yang disebutkan, tidak hanya perlu mengubah cara bekerja, tetapi juga mempengaruhi struktur pekerjaan secara menyeluruh. Di tengah-tengah transformasi teknologi, AI membawa peluang seperti peningkatan kecekapan, penciptaan lapangan kerja baru dalam bidang teknologi, dan mengoptimakan tugas-tugas yang sebelum ini mengambil masa yang lama dan memerlukan tenaga kerja yang ramai. Namun, teknologi ini juga membawa cabaran signifikan berkaitan etika, seperti privasi data dan bias dalam algoritma (algorithmic bias), serta keselamatan maklumat yang makin menuntut perhatian yang serius.
Oleh itu, dalam menghadapi cabaran kompleks dunia pekerjaan masa kini, graduan perlu memiliki pelbagai ciri modal insan yang relevan. Antara ciri utama adalah kemahiran berfikir kritis, yang membolehkan graduan menilai dan menganalisis maklumat dengan teliti sebelum membuat keputusan. Kemahiran ini melibatkan kemampuan mengenal pasti punca masalah, menganalisis maklumat berkaitan, dan mempersembahkan penyelesaian berdasarkan bukti dan logik. Graduan dengan kemahiran ini lebih cekap menghadapi masalah rumit dan mampu mempertimbangkan pelbagai perspektif, yang membantu mereka bekerja lebih baik dalam pasukan pelbagai budaya di dunia pekerjaan yang semakin global.
Keupayaan Membuat Keputusan Tepat dan Pantas
Dalam dunia yang semakin didorong oleh limpahan maklumat, kemampuan menapis maklumat berkualiti daripada yang tidak relevan adalah penting bagi membuat keputusan tepat dan berkesan. Mereka tidak mudah menerima jawapan yang sudah tersedia, sebaliknya sentiasa mencabar andaian-andaian yang ada dan mencari jalan lebih baik untuk mencapai matlamat. Dengan cara ini, graduan berupaya menyumbang terhadap budaya inovasi serta peningkatan berterusan dalam organisasi.
Namun, dalam situasi tidak menentu dan serba pantas, kemampuan menganalisis maklumat sahaja tidak mencukupi. Keupayaan membuat keputusan cepat dan tepat menjadi elemen kritikal dalam memastikan organisasi dapat bertindak balas dengan pantas terhadap perubahan serta peluang yang tidak dijangka. Graduan bukan sahaja perlu menguasai pengetahuan teknikal dalam bidang masing-masing, tetapi juga harus mempunyai kecekapan dalam membuat penilaian dengan segera, memahami potensi risiko, dan memilih tindakan paling sesuai dalam tempoh yang singkat. Ini penting terutamanya dalam menghadapi masalah kompleks dan situasi yang memerlukan penyelesaian pantas. Ia memerlukan graduan untuk menggabungkan analisa yang cekap, keupayaan menapis maklumat penting, serta intuisi yang dibina daripada pengetahuan dan pengalaman.
Kemahiran kerja dinamik merujuk kepada kebolehan untuk bekerja secara fleksibel dalam pelbagai persekitaran dan situasi, yang semakin diberi perhatian oleh majikan. Bagi graduan, kemahiran ini melibatkan keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan dalam tempat kerja, tugas, dan cabaran yang berbeza, sambil mengekalkan prestasi positif. Dalam dunia pekerjaan yang sentiasa berubah, graduan yang memiliki kemahiran ini dapat menghadapi pelbagai situasi dan berfungsi dengan baik dalam pasukan, serta menyesuaikan diri dengan budaya organisasi yang pelbagai. Ciri-ciri kemahiran kerja dinamik termasuk kebolehan beradaptasi dengan perubahan tiba-tiba melibatkan teknologi atau struktur organisasi. Dalam dunia kerja yang sentiasa berubah disebabkan oleh perkembangan teknologi, perubahan pasaran, dan keperluan pelanggan yang semakin kompleks, kemampuan graduan untuk bekerjasama dengan pasukan yang pelbagai menjadikan mereka aset yang sangat berharga.
Kemahiran komunikasi yang mantap, baik lisan mahupun tulisan, adalah signifikan untuk berinteraksi dengan pelbagai pihak. Kemahiran komunikasi lisan melibatkan keupayaan menyampaikan maklumat dengan jelas dan tepat semasa perbincangan, mesyuarat, atau pembentangan, termasuk cara bertutur, nada suara, bahasa badan, dan tahap keyakinan yang mempengaruhi penerimaan maklumat oleh pendengar. Sementara itu, kemahiran komunikasi tulisan merangkumi keupayaan menulis e-mel, laporan, dan dokumen dengan gaya profesional dan mudah difahami, serta penggunaan tatabahasa dan struktur yang betul untuk mengelakkan kekeliruan. Dengan menguasai kemahiran komunikasi yang baik, graduan dapat memperkukuhkan hubungan kerja dan membentuk amalan profesionalisme, seterusnya menyumbang kepada kejayaan organisasi dalam mencapai hasrat yang diidamkan.
Keseimbangan Insaniah Dalam Kehidupan dan Kerjaya
Keseimbangan insaniah memainkan peranan membentuk kehidupan seharian, melibatkan kemahiran sosial dan emosi seperti empati, kepimpinan, dan kecerdasan emosi. Kemahiran ini tidak hanya membantu dalam membina kerjaya yang berjaya, tetapi juga kritikal untuk mewujudkan masyarakat yang seimbang, harmoni, dan berdaya tahan. Bagi graduan, penguasaan kemahiran ini memberikan kelebihan dalam menghadapi cabaran di tempat kerja. Melalui empati, graduan dapat memahami perasaan orang lain, manakala kemahiran kepimpinan membolehkan mereka membimbing individu dan organisasi ke arah pencapaian matlamat bersama. Kecerdasan emosi pula membantu graduan menguruskan emosi mereka dan orang lain dengan lebih berkesan, memperkukuh komunikasi dan hubungan sosial. Semua ini adalah asas untuk mencipta persekitaran sosial yang inklusif dan dinamik, di mana setiap individu dapat berkembang secara holistik dan menyumbang kepada kemajuan organisasi.
Selain daripada perkara-perkara yang telah dibincangkan, terdapat beberapa aspek lagi yang perlu dipertimbangkan oleh graduan dalam menghadapi cabaran dunia moden. Dalam era di mana pengetahuan dan teknologi berkembang dengan pesat, konsep pembelajaran sepanjang hayat menjadi semakin kritikal. Graduan perlu memupuk sikap untuk terus belajar dan meningkatkan kemahiran mereka sepanjang kerjaya. Ini termasuk mengikuti kursus-kursus dalam talian atau program pensijilan profesional, menghadiri bengkel dan seminar industri, serta mengikuti perkembangan terkini dalam bidang masing-masing melalui jurnal, artikel, dan sumber-sumber ilmiah.
Penulis: Ts. Dr. Mohd Zubairy Shamsudin
Kulliyyah Of Allied Health Sciences
IIUM Kuantan Campus


