Universiti sering dianggap sebagai ruang selamat untuk menimba ilmu dan membina masa depan. Namun, beberapa tragedi yang berlaku di kampus kebelakangan ini membuktikan bahawa universiti juga merupakan persekitaran berisiko jika aspek keselamatan tidak diurus secara serius. Insiden letupan gas melibatkan unit penyaman udara di sebuah universiti swasta di ibu negara yang mengorbankan seorang pelajar internship serta mencederakan sembilan individu lain telah membuka mata banyak pihak. Tidak lama sebelum itu, pada Oktober 2025, seorang pelajar berusia 22 tahun dari universiti awam meninggal dunia akibat kecederaan kepala parah selepas terjatuh dari tingkat tiga kolej kediaman.
Dua kejadian ini berlaku dalam konteks yang berbeza, namun berkongsi punca yang sama, iaitu kegagalan sistem keselamatan, bukannya kemalangan yang tidak dapat dielakkan. Kejadian sebegini menimbulkan persoalan besar tentang sejauh mana universiti benar-benar bersedia melindungi pelajar, intern, staf dan pelawat yang berada di dalam kampus setiap hari.
Hakikatnya, universiti hari ini bukan sekadar pusat akademik. Ia merupakan sebuah ekosistem kompleks yang melibatkan operasi bangunan, sistem mekanikal dan elektrik, penyelenggaraan, aktiviti makmal, bengkel, kolej kediaman serta kehadiran kontraktor luar. Dalam persekitaran seperti ini, risiko keselamatan bukan sesuatu yang luar biasa. Apa yang berbahaya ialah sikap menganggap kampus sebagai kawasan berisiko rendah hanya kerana ia bukan tapak industri.
Ramai pelajar dan pelawat tidak mempunyai kesedaran tentang bahaya yang wujud di sekeliling mereka. Mereka mempercayai sepenuhnya pihak universiti untuk menyediakan persekitaran yang selamat. Oleh itu, tanggungjawab institusi menjadi lebih besar, khususnya apabila melibatkan kawasan atau sistem yang berpotensi mendatangkan bahaya seperti makmal, bengkel, fasiliti teknikal, sistem penyaman udara serta bangunan kediaman bertingkat.

Dari sudut perundangan, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 mengiktiraf universiti sebagai tempat kerja. Akta ini bukan sahaja melindungi pekerja, tetapi juga individu lain yang boleh terjejas akibat aktiviti kerja, termasuk pelajar, pelajar internship, kontraktor dan pelawat. Pindaan akta pada tahun 2022 telah mengukuhkan prinsip akauntabiliti, menjadikan pihak pengurusan tidak boleh lagi berlindung di sebalik alasan teknikal atau pentadbiran apabila berlaku kegagalan keselamatan. Walaupun status seseorang sebagai pelajar atau intern tidak semestinya menjadikan mereka pekerja secara automatik, tanggungjawab universiti terhadap keselamatan mereka tetap wujud dan diiktiraf oleh undang-undang.
Isu keselamatan pelajar internship memerlukan perhatian khusus. Dalam banyak kes, intern berada dalam keadaan paling terdedah kerana mereka masih belajar, kurang pengalaman dan cenderung mematuhi arahan tanpa mempersoalkan risiko. Oleh itu, apabila pelajar internship dibenarkan berada di tapak atau fasiliti universiti, mereka mesti berada di bawah pengawasan langsung penyelia yang kompeten. Intern tidak seharusnya dibenarkan terlibat dalam kerja-kerja kritikal atau berisiko tinggi yang melibatkan sistem gas, elektrik, kerja di tempat tinggi atau peralatan kompleks. Tugasan mereka perlu terhad kepada skop yang selamat dan sesuai dengan tahap latihan, selaras dengan amalan industri yang hanya membenarkan individu kompeten menjalankan kerja berisiko.
Dalam masa yang sama, universiti juga kerap berurusan dengan kontraktor luar bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan. Dalam situasi ini, universiti bertanggungjawab memastikan aktiviti kontraktor tidak membahayakan sesiapa di dalam kampus. Ini memerlukan prosedur kerja yang jelas, kawalan akses ke kawasan berbahaya serta sistem kebenaran kerja bagi tugasan berisiko. Menyerahkan kerja kepada kontraktor tidak bermaksud menyerahkan tanggungjawab keselamatan sepenuhnya.
Salah satu kelemahan utama yang sering ditemui ialah ketiadaan polisi keselamatan dan polisi internship yang jelas serta berfungsi. Polisi keselamatan tidak sepatutnya menjadi dokumen formaliti semata-mata, tetapi perlu difahami dan diamalkan oleh semua peringkat, daripada pengurusan tertinggi hingga ke pelajar. Polisi internship pula penting untuk menetapkan had tugasan, keperluan pengawasan dan tanggungjawab universiti sebagai institusi hos. Tanpa polisi yang jelas, keputusan berkaitan keselamatan sering dibuat secara ad hoc dan ini membuka ruang kepada kesilapan serius.
Pencegahan merupakan kunci utama. Pemeriksaan dan penyelenggaraan berkala sistem bangunan, induksi keselamatan kepada pelajar dan intern serta kawalan rapi terhadap aktiviti berisiko mampu mengurangkan kebarangkalian insiden. Namun begitu, pencegahan sahaja tidak mencukupi tanpa kesiapsiagaan kecemasan. Universiti perlu bersedia menghadapi situasi luar jangka, termasuk pada waktu malam atau hujung minggu, apabila kebanyakan staf tidak berada di kampus tetapi pelajar masih menetap di kolej kediaman.
Akhirnya, keselamatan kampus bukan isu teknikal semata-mata, tetapi cerminan budaya institusi. Tragedi jarang berpunca daripada satu kesilapan individu. Ia lazimnya berpunca daripada sikap sambil lewa, andaian yang salah dan kegagalan sistem secara berlapis. Universiti memikul tanggungjawab moral dan undang-undang untuk melindungi mereka yang berada di bawah jagaan institusi. Keselamatan tidak boleh dilihat sebagai beban pentadbiran, sebaliknya sebagai nilai teras yang menentukan integriti sesebuah universiti.
Tragedi yang berlaku seharusnya menjadi peringatan jelas bahawa nyawa pelajar dan warga kampus tidak boleh dikompromi. Tindakan perlu diambil sekarang, sebelum kejadian seterusnya berlaku, bukan selepas.


