Tumbuhan Hiasan Rumah Mampu Membantu Meningkatkan Kualiti Udara Dalaman

Share This Post

Penulis:

Pengenalan

Kualiti udara dalaman sangat perlu dititiberatkan memandangkan manusia menghabiskan banyak masa berada di dalam bangunan samaada di rumah mahupun di tempat kerja. Kita sebenarnya telah terdedah kepada pelbagai jenis bahan toksik berbahaya walaupun berada di dalam bangunan.

Antara bahan toksik berbahaya yang boleh ditemui dalam bangunan adalah formaldehyde, benzene dan trichloroethylene.

Ketiga-tiga bahan ni mudah ditemui melalui penggunaan produk-produk yang kebiasaannya digunakan dirumah untuk tujuan seperti foam dalam tilam dan kusyen perabut, kayu lapis dinding, permaidani, pewangi, sabun pencuci, cat, produk yang diperbuat daripada plastik dan getah dan sebagainya.

Kesan daripada pendedahan kepada produk-produk yang mengandungi bahan toksik berbahaya ini adalah sangat membimbangkan kerana ia boleh menyebabkan kerosakan pada organ dalaman dan menyebabkan kanser.

Penggunaan alatan elektrik seperti mesin penapis udara sangat popular pada masa kini kerana diyakini boleh menapis partikel, mengurangkan gas berbahaya dan mampu menyingkirkan bakteria dan virus. Namun tahukah anda tumbuhan juga boleh digunakan sebagai medium untuk mengurangkan pencemar udara di dalam bangunan?

Tumbuhan yang digunakan sebagai hiasan atau pokok hiasan adalah antara jenis tumbuhan yang kebiasaannya diletakkan di dalam bangunan atau di luar rumah. Selain daripada untuk tujuan estatik, ia juga sangat berguna untuk kualiti udara dalaman.

Kajian yang telah dilakukan oleh Pentadbiran Aeronatik dan Angkasa Lepas kebangsaan (NASA) di Amerika Syarikat mendapati tumbuhan tertentu terutamanya yang diterdapat di kawasan tropika amat sesuai menyerap bahan toksik dalam rumah dan pejabat.

Jenis-Jenis Tumbuhan Dalaman Rumah dan Kelebihannya  

Berikut adalah 12 jenis tumbuhan yang dipercayai boleh membantu kualiti udara dalaman dan sesuai untuk diletakkan di dalam bangunan.

1. Pokok Lidah Buaya (Aloe Vera)

Senang ditanam, mudah dijaga dan antara tumbuhan hiasan yang paling banyak khasiat kepada manusia sama ada untuk kegunaan luaran mahupun dalaman. Ia mampu meningkatkan kadar oksigen di dalam rumah berikutan tumbuhan ini menyerap gas carbon dioxide dan carbon monoxide.

2. Pokok Getah (Rubber Plant)

Rubber plant (ficus elastica) merupakan tumbuhan hijau dari India. Tidak memerlukan pencahayaan yang banyak. Sangat berkesan untuk membersihkan udara daripada bahan berbahaya seperti carbon monoxide, formalydehyde dan trichloroethylene. Namun, ia harus dielakkan daripada kanak-kanak kecil dan haiwan peliharaan disebabkan oleh racun yang terdapat pada daunnya. 

3. Pokok Pinang Kuning/ Buluh Palma (Bamboo Palm) 

Antara yang paling popular dan juga antara yang paling kerap dilihat dimana-mana, seperti di kawasan rehat dan rawat (R&R), bangunan pejabat dan banyak tempat lagi. Ada yang menggelarnya ‘pokok detox’ kerana kebolehannya menghindarkan toksik dan bahan kimia yang terdapat dalam udara terutamanya di dalam rumah seperti formaldehyde dan benzene. 

4. Pokok Sirih Gading/ Duit-duit (Pothos/ Devil’s Ivy) 

Tumbuhan ini mampu menyingkirkan 58% partikel dan 60% toxin yang berada di dalam udara dalam tempoh 6 jam. Boleh membiak dengan mudah kerana hanya memerlukan sinaran matahari secara tidak langsung dan memerlukan air hanya setiap beberapa hari. 

5. Pokok Lelabah (Spider Plant) 

Tumbuhan yang mampu menjalankan fotosintesis dalam pencahayaan yang minima. Mampu menyerap udara toxin seperti carbon monoxide, formalydehyde, gasoline dan styrene. Tumbuhan ini tidak mempunyai toksik berbahaya untuk haiwan dan kanak-kanak. 

6. Pokok Ular/ Lidah Jin/ Lidah Mertua (Snake Plant) 

Tumbuhan yang sangat tahan lasak dan sepatutnya disimpan di setiap rumah. Ia mampu menjalankan fotosintesis dalam pencahayaan yang rendah. Sesuai diletakkan di bilik tidur kerana ia menghasilkan oksigen pada waktu malam. Tumbuhan ini boleh menurunkan kadar benzene, xylene dan toulene di dalam bangunan.Namun awas kerana tumbuhan ini mengandungi bahan aktif yang dikenali sebagai ‘Saponin’, yang boleh menyebabkan muntah, cirit-birit, dan ruam jika dimakan secara tidak sengaja (Pusat Racun Negara). 

7. Bakung Damai/ Lili Damai (Peace Lily) 

Bukan sahaja cantik sebagai tumbuhan hiasan dalam rumah, ia juga boleh menyingkirkan toksin di dalam udara seperti formalydehyde dan trichloroethylene. Mempunyai bunga yang cantik, mudah dipelihara malah tumbuh subur di tempat teduh dan bersuhu rendah. 

8. Pokok Ketapang (Fiddle Leaf Fig) 

Oleh kerana ia mempunyai permukaan daun yang luas, ia dikatakan mampu membersihkan udara dan menyediakan banyak oksigen. Ia juga membantu mengawal kelembapan. Banyak digunakan dalam reka bentuk dalaman kerana bentuknya cantik. Tumbuhan ini boleh menyingkirkan formalydehyde dan xylene. 

9. English ivy (Hedera helix) 

Tumbuhan menjalar ini sesuai untuk diletakkan di dalam kediaman. Ia boleh didapati dalam pelbagai jenis berbeza dengan cara penjagaan seperti pencahayaan yang berlainan. Pokok ini terbukti dapat menyingkirkan benzene, carbon monoxide, formalydehyde, trichloroethylene dan banyak lagi. 

10. Pokok Pakis Boston 

Turut dikenali dengan nama seperti pokok pakis pedang, terdapat sumber yang mengatakan pakis boston dapat mengekalkan kelembapan yang tinggi di dalam rumah dan berupaya mengelakkan kulit kita daripada kering. Ia juga merupakan tumbuhan yang berkesan menghapuskan bahan toksik pencemaran bawaan udara termasuk formaldehyde, xylene dan toluene yang boleh menyebabkan sakit kepala , masalah pernafasan, dan pertumbuhan sel-sel kanser. 

11. Daun Pakis (Bird’s Nest Fern) 

Bentuk fizikalnya seperti tunas baharu yang bergulung seakan pokok pakis. Ia sangat sesuai untuk dijadikan tanaman gantung yang indah dalam rumah. Pokok ini hidup dalam persekitaran lembap dan tanpa cahaya langsung. Antara toksik yang disaringnya adalah formalydehyde, xylene dan toulene. 

12. Monstera Deliciosa 

Mampu memperbaiki kualiti udara dengan menyerap carbon dioxide dan menghasilkan oksigen pada waktu malam. Ia juga mampu menyerap formalydehyde dalam udara. Walaupun monstera mampu membersihkan udara di dalam rumah, namun perlu dielakkan daripada jangkauan kanak-kanak kerana sekiranya termakan daunnya boleh menyebabkan iritasi pada mulut. 

Langkah keselamatan  Jika anda sedang mempertimbangkan untuk mendapatkan pokok dalam rumah, pastikan anda memilih tumbuhan yang mesra kanak-kanak atau binatang peliharaan seperti kucing atau anjing. Ini kerana sesetengah tumbuhan tersebut dikenal pasti boleh menjadi toksik kepada anak kecil dan juga binatang. 

Kesimpulan

Selain tumbuh-tumbuhan ini boleh digunakan sebagai medium untuk membersihkan kualiti udara dalaman, ia juga sebenarnya boleh memberikan nilai estatik pada ruang kediaman atau bangunan. Tumbuhan ini mampu memberi manfaat lain seperti:

  • Mengurangkan kemurungan
  • Membantu peredaran udara dalam rumah
  • Membantu memori dan kesihatan mental
  • Mengurangkan kesan cuaca panas

Rujukan

Balconygardenweb
theasianparent
propertyguru
hellodoktor

Oleh: Erna Haryani AmaludinFakulti Sains Kesihatan Universiti Selangor

More Articles